Sunday, July 3, 2016

Akademi TV3 dalam kenangan



Bangunan Zetro yang dahulunya dikenali sebagai Akademi TV3. Menjadi mercu tanda bagi sesiapa yang memasuki kawasan Seksyen 5, Wangsa Maju


Bangunan Zetro yang berdiri megah di atas bukit di Seksyen 5 Wangsa Maju adalah sebuah bangunan yang kini dimiliki oleh Kementerian Pertahanan Malaysia. Ia merupakan mercu tanda bagi sesiapa yang menghala ke arah Wangsa Maju dari arah Setiawangsa ataupun daripada Sri Rampai. Tiada apa yang menarik perhatian mengenai bangunan ini melainkan ia pernah menjadi pusat perkumpulan dan pendaftaran bagi pelatih PLKN sebelum PLKN dibubarkan. Namun begitu, bangunan ini memiliki kisahnya yang tersendiri di mana suatu ketika dahulu menjadi isu besar dan menggegarkan institut pengajian swasta di Malaysia sehingga menyebabkan Kementerian Pengajian Tinggi merombak dan mengkaji semula sistem penganugerahan akreditasi institut pengajian tinggi swasta atau MQA (Malaysian Qualifications Register).


Semasa aku masih kecil lagi iaitu ketika kami sekeluarga baru sahaja berpindah ke Wangsa Maju ketika di tahun 1993, aku masih mengingati bangunan ini masih di dalam proses pembinaannya. Namun yang paling kuingati adalah lanskap tanaman yang membentuk perkataan TV3 yang terletak betul-betul di tepi jalan utama Seksyen 5 Wangsa Maju sehingga pada waktu aku menganggap studio TV3 berada di situ. Bangunan ini agak mengambil masa yang lama untuk disiapkan dan tidak salah aku di dalam 3-4 tahun baru ia siap terbina. Bangunan ini pada awalnya dimiliki oleh TV3 dan diswastakan kepada syarikat Cosmo Focus Sdn Bhd untuk dijadikan Akademi TV3 dan kemudian digelar sebagai Koleh MIIM (Malaysia Institute of Integrative Media). Perancangan awal TV3 pada ketika itu mungkin untuk melahirkan produk mereka yang tersendiri di dalam bidang professional media seperti wartawan, pengacara, penyampai berita dan artis. Aku pun tidak berapa tahu sangat kerana ia merupakan perancangan dalaman pihak pengurusan dan eksekutif TV3 yang pasti tidak diketahui oleh orang biasa kecuali mereka yang bertugas atau mempunyai kenalan di dalamnya.


Ketika awal penubuhannya, ramailah anak muda yang mahu menyertai dan menyambung pengajian di kolej ini dengan harapan dapat menjamin kerjaya mereka untuk bekerja di TV3 selepas mereka menamatkan pengajian mereka. Tetapi tidak diketahui mengapa, pihak TV3 telah menjual hak milik Kolej MIIM kepada SAL Group of Colleges pada tahun 2003. Maka hilanglah lanskap rumput yang membentuk perkataan TV3 dan diganti dengan papan tanda SAL College atau Kolej SAL yang tak berapa menarik dilihat bagi aku. Memang aku agak terasa sebab aku memang suka sangat tengok lanskap tu bila aku melalui jalan itu. Rasa rugi pula zaman dulu tak ambil gambar lanskap tu.


Pada tahun 2007, ketika aku menyambung pengajian di UiTM, kecoh sebentar kisah berkenaan Kolej SAL ini di dalam berita. Para pelajar dan pensyarah kolej ini tiba-tiba diarah berhenti disebabkan kolej mereka telah bankrap dan terpaksa ditutup dan dilelong disebabkan masalah hutang. Daripada berita yang aku baca, mereka memang dapat merasakan perkara ini akan terjadi kerana telah beberapa kali mereka diarah pulang dan kelas mereka dibatalkan tanpa sebab sebelum ini. Tetapi mereka langsung tidak menyangka apabila kolej mereka ditutup serta-merta dan mereka diberhentikan tanpa sebarang notis awal diberikan kepada mereka terdahulu. Bayangkanlah kita dah bayar yuran mahal-mahal, belajar macam nak gila dan mengharapkan segulung ijazah, tiba-tiba tengah belajar kolej pula kena tutup. Menyirap habis la darah bila tahu. Masa tu siap habis panggil press conference minta kerajaan selesaikan pasal hal ini. Rupanya bila disemak, kolej ni memang dah lama tak ada pengesahan akreditasi MQA dan sijil mereka tidak diiktiraf walaupun mereka dah habis belajar. Dan bila aku bertanya pensyarah UiTM aku, baru aku dapat tau yang pihak Kementerian Pengajian Tinggi telah mengetatkan syarat pagi sijil MQA dan universiti awam juga terlibat bagi memastikan sistem pendidikan di Malaysia terjaga dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Dan aku juga dapat tahu banyak kolej swasta yang agak popular telah ditutup bila pihak Kementerian bertindak mempamerkan senarai kolej yang ditarik sijil MQA ini. Masa aku tgk berita ni, bersyukur betul aku sebab dapat belajar dekat UiTM. Takda dah isu MQA ni langsung, sijil pun laku dan yuran pun tak berapa mahal. Bayangkan satu diploma di Kolej SAL ni berharga RM18,000 seorang untuk satu pengajian. Tu tak masuk kos tambahan lain-lain lagi dan silap-silap boleh cecah +RM20K seorang tu. Boleh bayangkan betawa kecewanya diorang. Lagi-lagi kalau anak orang yang tak berapa mampu. Kalau anak orang kaya RM20k tu macam 20 sen je. Tapi bagi yang datang dari keluarga yang tak berapa mampu macam aku, RM20k tu dah macam harga pesawat Boeing tu.


Aku tak tahu apa nasib pelajar yang terkontang – kanting tu bila dah jadi macam ni. Bagi yang mampu boleh lah sambung pengajian di tempat lain. Tapi yang dah tak berapa mampu, terpaksalah cari kerja kosong dan cuma mampu memandang duit yang dah hangus tu. Dianggarkan nak dekat 700 orang pelajar yang terlibat di dalam isu ini. Bayangkan RM18K kalau kali 700 dah berapa ribu dah tokey kolej ni dapat.Tu tak masuk pelajar yg dah graduate lagi tu.  Aku ada juga buat search dekat Google nak cari kot2 ada CEO atau pengarah syarikat SAL College dengan MIIM College ni kena tangkap polis atau SPRM sebab pecah amanah. Tapi takda pulak keluar cerita. Yang ada cuma cerita pasal Pemuda UMNO tolong bantu mangsa pelajar yang ditipu ini. Aku takda la nak salahkan pihak berkuasa tetapi kalau boleh bantulah mereka yang menjadi mangsa ini. Sekurang-kurangnya buatlah tindakan penguatkuasaan dan siarkan di media tentang tindakan mereka. Nampaklah ada tindakan dibuat untuk membela nasib mereka yang tertindas. Tapi biasalah negara kita yang tercinta ini memang saling mencintai antara satu sama lain selagi mereka memiliki kertas berlogo Yang Dipertuan Agong yang tercinta ini yang merupakan sebuah karya yang paling agung di Malaysia.


Sekarang dah nak dekat 10 tahun cerita ini berlalu. Kisah ini pun sudah dilupakan oleh warga Wangsa Maju melainkan kepada mangsa yang tertindas. Kepada mereka, bersabarlah InsyaAllah ada hikmah di sebalik semua yang terjadi.


 Semoga bersemadi dengan aman wahai Akademi TV3.



3 comments: